“Adam… janganlah buat adik!!!” jerit mama… kuatnya jeritan mama sehingga ke dapur boleh dengar! “Adam… jangan suka jelir lidah kat adik…. Adam, janganlah rebut mainan tu… Adam, kenapa mama cakap sekali tak nak dengar????”

Ini adalah skrip yang sering kita lontarkan apabila kita hendak memarahi anak-anak. Penatnya hati dan dah berbuih mulut menasihati anak-anak ini tapi Subhanallah nakalnya boleh membuat kita migraine!

Dulu saya teringat selain dari suara, rotan juga adalah cara untuk mendisiplinkan anak-anak. Saya tidak mengatakan tidak boleh terus menggunakan rotan kerana Rasulullah SAW pun memberi saranan kepada kita agar menggantung rotan di dalam rumah, hanya kita berdoa janganlah kita harus menggunakan rotan sebagai metod dalam mendidik anak-anak kecil kita. Alhamdulillah, sekarang ramai ibu bapa yang mencuba untuk mendisiplinkan anak-anak mereka dengan cara yang lebih baik agar anak-anak tidak lebih nakal ataupun memberontak. Anak-anak kebiasaannya akan sentiasa meniru tingkah laku ibu bapa mereka. Jadi, dikhuatiri jika kita menggunakan fizikal untuk mendisiplinkan anak-anak , kelak nanti anak-anak akan meniru perilaku kita dan akan menjadi lebih agresif..

Jadi, apakah altrenatif selain dari fizikal untuk mendidik anak-anak kita? Di sini saya akan berkongsi beberapa tips alternatif dalam menegur anak-anak agar dapat menjadi panduan untuk para ibu bapa pembaca budiman.

 1. Memberi ransangan positif

Kadangkala anak-anak menjadi nakal kerana mereka memerlukan perhatian. Ibu bapa sering memberikan perhatian dengan cara teguran jika mereka membuat salah. Mari kita tukar minda dan teknik kita. Wajar untuk kita memberi mereka perhatian sekiranya mereka membuat perkara yang kita suka. “Wah… mama sukalah Adam menulis di buku, Adam rajinlah!” Berilah ganjaran yang positif seperti kata-kata motivasi yang positif, senyuman, pelukan dan ciuman jika mereka membuat perkara yang baik. Insyaa Allah jika kita istiqamah mencari dan memberi pujian semasa mereka membuat sesuatu yang baik, anak-anak akan faham dan membuat perkara yang ibu bapa mereka suka.

 2. Berbincang dengan anak-anak

Jika anak kita menumpahkan susu, tiada gunanya jika kita menjerit dan memukul anak-anak. Ini disebabkan mereka takkan faham perkara yang mereka lakukan adalah salah. Oleh yang demikian, tindakan yang harus kita ambil adalah dengan menerangkan apa yang harus dilakukan. “Adam…. okay tak pe… ambil kain dan lap tumpahan tu.” Dan jika mereka tidak mahu lakukannya, lakukan bersama-sama. “Adam… kemas balik mainan tu ke dalam kotak selepas bermain ya”. Lakukan dan didik mereka dengan sabar dan tunjuk ajar agar mereka faham erti tanggungjawab atas aktiviti atau perilaku yang mereka lakukan.

 3. Jadilah contoh teladan yang baik

Anak-anak akan sentiasa melihat apa yang kita buat. Ibu bapa adalah guru pertama mereka. Jangan membuat perkara yang melanggar syariat Islam atau perkara yang boleh membuat mereka merasa bingung. Tunjuklah contoh akhlaq yang baik pada anak-anak agar mereka boleh contohi setiap perbuatan baik kita dan akan membesar menjadi insan yang cemerlang suatu hari nanti.

 4. Memberi kritikan pada perilakunya sahaja

Apabila kita menegur anak, pastikan kita hanya menegur perilaku mereka yang tidak kita sukai hanya pada waktu itu. Jauhi dari mengungkit perkara yang lama. Tukar skrip cara kita menegur. “Adam… tengok TV lama sangat tak bagus, jom ikut mama… tolong mama buat kuih di dapur.” Janganlah kita menegur begini “Adam… nak jadi budak malas ya? Asyik tengok TV aje… tutup TV tu!” Dan kadangkalanya kita akan mengungkit keperibadian adik beradik yang lain. “Adam ni asyik tengok TV macam along… nanti tak pandai belajar!” Jauhi skrip sebegini. Ini akan menjadikan anak-anak kurang hormat kepada ahli keluarganya yang lain.

 5. Kurangkan penggunaan perkataan ‘tidak’

Dalam mendidik anak-anak, kurangkan perkataan jangan atau tidak! Adakan peraturan di rumah. Dan peraturan ini harus dibincang bersama dengan suami, isteri atau nenek serta atuk anak-anak tersebut. Hal ini penting kerana anak-anak akan menjadi keliru sekiranya perbuatan yang mereka lakukan itu salah di mata ibu mereka namun tidak pada mata ayah mereka. Oleh itu, kita harus menyediakan peraturan yang dipersetujui sama dan peraturan itu tidak boleh banyak pada satu-satu masa, kerana kognitif anak-anak belum boleh menerima lebih daripada 5 peraturan pada satu tahap tumbesaran mereka. Sebagai contoh, kita mengajak anak membasuh pinggan bersama-sama dan jika dia membasuh pinggan sendiri, terus dimarahi! Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Seharusnya kita menerangkan pada anak-anak, “Jika seronok basuh pinggan ni, lain kali kita basuh sama-sama, jangan basuh sendiri sebab nanti adik tak tahu macam mana nak basuh pinggan dengan baik.” Jika selalu sangat menggunakan perkataan ‘jangan’ atau ‘tidak’, ini boleh menjejaskan jati diri anak-anak kita dan dia akan membesar sebagai seorang insan yang takut untuk mencuba.

 6. Relaks

Selalunya apa yang anak-anak kita lakukan tidaklah begitu kritikal, maka relakskan standard kita, lagipun mereka masih kanak-kanak. Mereka perlu banyak mencuba untuk merangsang minda mereka. Mereka harus berani melakukan perkara yang susah bagi merangsang perkembangan sosio-emosi mereka. Mereka harus berlari, memanjat dan melompat untuk merangsang perkembangan jasmani mereka. Apa yang harus kita lakukan ialah memantau aktiviti anak-anak. Jika ianya akan mendatangkan mudharat, maka ketika itu kita perlu menegur tetapi dengan cara yang baik dan berikan kefahaman buat mereka tentang kenapa perilaku tersebut tidak boleh dibuat. Berbincang dengan baik kerana anak-anak kita sebenarnya boleh faham bahasa kita yang mudah apabila kita berbincang dengan mereka.

Kita pun seharusnya janganlah tension sangat, lakukanlah terapi untuk menenangkan minda dan jiwa kita dengan selawat, istighfar dan mendengar ayat-ayat suci Al-Quran agar ketenangan ini dapat membuahkan kebijaksanaan dan hikmah dalam mendidik anak-anak.

Insyaa Allah saya harap dengan sedikit perkongsian yang saya berikan kali ini dapat membantu para ibu bapa kearah teknik keibubapaan yang boleh memanfaatkan tumbesaran anak-anak quratul ain, penyejuk mata kita agar anak-anak dapat membesar dengan jati diri yang cemerlang.

menu-circlecross-circle