Assalamualaikum pembaca yang dirahmati Allah. Semoga anda berada di dalam iman dan kesihatan yang sebaiknya.

Pada hari ini, saya ingin menyentuh tentang anak, dan amanah Allah kepada kita apabila diberi anugerah yang terindah ini. Setiap ibu bapa atau bakal ibu bapa pasti senantiasa berdoa untuk mendapat zuriat yang sihat, bijak, beriman, baik sahsiahnya, menjadi insan hebat fizikal dan rohaninya, dan dapat menjadi saham yang dibawa ibu bapa selepas meninggalkan dunia yang sementara ini.

Sebagai usaha kita sebagai insan yang daif dan sentiasa bergantung kepada kuasa yang Maha Agung, marilah kita berdoa kepada Allah azzawajal. Dan mulalah berdoa dari sebelum kita menemui jodoh sekalipun, kerana anak yang baik itu datangnya dari individu yang menjadi pasangan yang baik. Ibu bapa yang ingin kebaikan untuk anaknya perlulah menjadi insan yang terbaik dahulu.

Ramai ibu bapa seringkali meletakkan harapan yang tinggi kepada anak yang suci ini tanpa menyedari anak-anak juga mempunya hak dan harapan kepada kita yang boleh dituntut di hadapan Allah swt kelak.

Telah diriwayatkan bahawa Ibn ‘Umar berkata: “Allah telah memanggil mereka abraar (orang yang baik) kerana mereka menghormati (barru) bapa-bapa mereka. Seperti ayah anda ada hak atas anda, begitu juga anak-anak anda ada hak atas anda.

Al-Adab al-Mufrad, 94.

Rasulullah (SAW) bersabda, mengikut satu hadith yang diriwayatkan Abdullah ibn ‘Umar, “… dan anak-anak anda ada hak atas anda.” Muslim, 1159.
Antara hak-hak anak dalam Islam terhadap ibu bapa adalah:-
1) Seorang lelaki perlulah mencari wanita yang baik untuk menjadi ibu yang baik buat anaknya
2) Mengajarkan mereka Al-Quran dan As-Sunnah
3) Diberikan nama yang baik

Jom kita bersama baiki cara-cara kita dalam mendidik anak-anak agar diri kita juga terdidik dengan ilmu yang terbaik untuk membesarkan mereka seperti yang diredhai Allah swt.

Di sini saya kongsikan Carta Perencanaan Anak Soleh yang dikongsikan dari Majalah al-Ustaz isu 09. Semoga ia bermanfaat buat semua, insyaAllah taala. Wassalam.

menu-circlecross-circle